Tuesday, June 16, 2009

TIDAK KHUSYUK DALAM SOLAT

Tidak Khusyuk Di dalam Sembahyang

Jawapan: Tidak khusyuk dalam sembahyang mempunyai beberapa makna:

1. Tidak khusyuk kerana seseorang itu banyak bergerak ketika bersembahyang seolah-olah dia bukan berada di dalam sembahyang, seperti menggaru-garu badannya, melihat jam, berpaling, membetulkan serbannya dan lain-lain seperti yang banyak kita lihat. Semua ini adalah pergerakan yang membatalkan sembahyang kerana ia sia-sia, tidak lahir dari seorang muslim yang mahu menghadap Tuhannya dengan hati dan seluruh fikirannya, juga tidak lahir dari seorang muslim yang menghormati sembahyang, merasa dan sedar akan nilainya.
2. Tidak khusyuk kerana pergerakan yang sedikit sahaja, fikiran melayang atau hati tidak hadir dalam sembahyang.

Walaupun ini tidak membatalkan sembahyang, tetapi ia menghilangkan rohnya. Roh sembahyang adalah khusyuk, dan Allah pernah berfirman:

'Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam sembahyang mereka.'
(Al-Mukminun: 1-2)

Justeru itu khusyuk ada dua jenis iaitu khusyuk hati dan khusyuk anggota badan.

Khusyuk hati ialah menghadirkan penjagaan Allah Taala dan kebesaran-Nya, meneliti makna aI-Quran serta apa yang dibaca dan didengar atau zikir-zikir yang disebut, makna takbir dan tasbih, makna 'Allah mendengar orang yang memujinya' dan sebagainya.

Mendatangkan makna zikir-zikir dan meneliti apa yang dibaca atau didengar akan membuatkan seseorang terasa bahawa dia sedang berdiri di antara dua 'tangan' Allah. Sembahyangnya mestilah bersih daripada pelbagai perkara sia-sia atau tidak berfaedah.

Seorang ulama salaf, Hatim Al-Assam pernah ditanya mengenai cara beliau bersembahyang. Beliau menjawab:

'Saya bertakbir dengan betul, membaca dengan tartil, rukuk dengan khusyuk, sujud dengan penuh rasa hina; saya membayangkan syurga di sebelah kanan saya dan neraka di sebelah kiri, jambatan siratul mustaqim di bawah kaki saya, Kaabah di antara dua kening saya, malaikat maut di atas kepala saya, dosa-dosa saya mengelilingi diri saya dan pandangan Allah kepada saya. Saya menganggap inilah sembahyang terakhir daIam hidup saya dan melakukannya dengan ikhlas setakat terdaya, kemudian saya memberi salam. Saya tidak tahu sama ada Allah menerimanya atau tidak. Sekiranya tidak, pasti Dia akan mencampakannya (sembahyang) itu ke muka orang yang mengerjakannya!'

Berdiri untuk sembahyang sambil menghimpunkan segala kerenah dunia dan menyibukkan diri dengan segala-galanya kecuali sembahyang adalah sesuatu yang tidak harus bagi seseorang muslim.

Ringkasnya, terdapat pelbagai perkara yang boleh memaksa atau mendorong manusia supaya terganggu ketika sembahyang. Setiap orang dituntut supaya menjauhkan perkara-perkara ini daripada kepala dan fikirannya serta hendaklah berdiri di tempat yang boleh mengkhusyukkannya untuk meneliti makna-makna ayat dan menumpukan perhatian setakat yang terdaya. Mudah-mudahan Allah akan mengampunkannya.

Khusyuk anggota badan pula adalah pelengkap kepada khusyuk hati, dan tanda kekhusyukannya adalah sebagaimana yang disebut dalam satu athar yang bermaksud:

�Sekiranya khusyuk hati ini, nescaya khusyuklah anggota badan.�

Maksudnya ialah jangan berpaling dalam sembahyang, bermain-main seperti kanak- kanak atau banyak bergerak sehingga boleh menghilangkan kekhusyukan dan roh sembahyang, sebaliknya hendaklah berdiri dalam keadaan sopan di hadapan Allah s.w.t. Ini amatlah dituntut dalam sembahyang.


��
Nota Kaki

Diriwayatkan oleh At- Tirmizi dalam An-Nawadin dengan sanadnya daripada Abu Hurairah.
Ulasan / Huraian
Sumber
Dr. Yusuf al-Qardawi,Fatwa Masa Kini (Terjemahan) Jilid 2
Lokasi
Pustaka Salam Sdn Bhd 03-6186 9469
Tarikh Dikeluarkan
01/08/2006
Bahasa Hukum
Bahasa Malaysia
Tarikh Masukan
01/08/2006 16:53:25

No comments:

Post a Comment